Blogger Widgets

Berita Utama

KPDNKK Tetapkan Kuota Ron95

kpdnkk, minyak naik, ron95

TUMPAT – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) menetapkan kuota jualan petrol RON95 bersubsidi sebanyak 600,000 liter sebulan kepada stesen-stesen minyak di sempadan negeri ini, berkuat kuasa semalam.

Ketua Setiausahanya, Datuk Seri Alias Ahmad berkata, langkah mengehadkan jualan bahan api bersubsidi itu adalah usaha menangani ketirisan minyak yang begitu ketara diseludup ke negara jiran di sempadan Malaysia-Thailand di negeri ini.

Katanya,  ia melibatkan 39 stesen minyak dalam lingkungan 1 hingga 25 kilometer dari sempadan di negeri ini membabitkan stesen minyak dalam kawasan Pengkalan Kubor, Rantau Panjang, Bukit Bunga dan Jeli.

“Sekiranya stesen minyak itu perlukan kuota lebih, pengusaha boleh memohon kepada Pengarah KPDNKK negeri ini.

“Tetapi stesen minyak itu akan dipantau setiap masa agar tidak berlaku penyeludupan minyak bersubsidi ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas perasmian Program Siswa@ Kampung Universiti Putra Malaysia Dengan Kerjasama KPDNKK dan Jawatankuasa Kemajuan Keselamatan Kampung Kebakat di Sekolah Kebangsaan (SK) Kebakat, semalam.

Alias berkata, penetapan kuota itu perlu kerana didapati penjualan petrol dan diesel di stesen minyak di sempadan negeri ini mencecah sehingga 1.9 juta liter sebulan untuk satu stesen minyak sahaja.

“Ia agak mustahil macam mana ia boleh dijual kepada pelanggan dengan jumlah begitu banyak di stesen minyak di Rantau Panjang ini.

“Situasi ini menyebabkan kerajaan mengalami kerugian RM30 juta oleh ketirisan tersebut dan kita memandang serius perkara ini,” katanya.

Menurutnya, Kelantan menjadi perintis kepada sistem ini kerana Kelantan dilihat serius berlaku penyeludupan minyak bersubsidi ini.

“Selepas sebulan ia akan dilaksanakan di negeri-negeri lain, sistem ini diguna pakai sehingga kerajaan  akan umumkan satu sistem yang baru September ini,” katanya.

Alias menegaskan, pihaknya akan mengambil tindakan tegas ke atas pengusaha stesen minyak yang bersubahat dengan penyeludup yang menyeludup petrol dan diesel ke negara jiran.

No comments:

Post a Comment